Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, March 23, 2017

Terima kasih Tengku Abdullah, semoga berjaya TMJ!

Bolasepak dibawa masuk ke semenanjung Tanah Melayu melalui penjajah British. Walaupun sukan tradisional sepakraga sejak dahulu lagi menjadi permainan tempatan kesukaan orang-orang Melayu, bolasepak kini telah menguasai hampir semua bangsa di dunia termasuklah bangsa Melayu dan warganegara Malaysia. Rata-rata penduduk Amerika Syarikat yang lebih gemar kepada American football pun sudah mula merasai betapa bahangnya fanatik sejumlah manusia kepada bolasepak, yang mereka sendiri sebut sebagai soccer. Pada tahun 1909 yang bersejarah, itulah buat pertama kalinya orang-orang Melayu secara sistematik disodok keseluruhannya dengan permainan baru dari tanah asing dengan terwujudnya Malaya Football Association di Singapura sebagai pendedahan yang terancang di bawah naungan Gabenor Negeri-negeri Selat pada waktu itu iaitu Sir John Anderson.

HMS Malaya: Kedatangan bolasepak melalui kapal perang
(kredit: www.hobbylinc.com)

Apabila kapal perang HMS Malaya yang diketuai oleh Kapten Henry Tritton Buller singgah di perairan negara pada awal 1920-an, kehidupan kaum kerabat diraja di samping rakyat jelata yang marhaen mahupun bangsawan, tanpa sedar mulai berubah secara drastik. Menjelang 20 Ogos 1921, bermulalah pertandingan bolasepak tahunan peringkat kebangsaan yang dipanggil Malaya Cup. Ianya begitu popular hinggakan hanya Perang Dunia Kedua sahaja yang boleh menghentikannya buat sementara. Pada tahun 1926, persatuan-persatuan bolasepak Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan juga Singapore Amateur Football Association (ditubuhkan sejak 1892) telah bergabung untuk membentuk Malayan Football Association (MFA). Asalnya turut berpangkalan di Singapura, MFA kemudiannya dihidupkan semula menjadi Football Association of Malaya (FAM) pada 1933 dengan seorang pentadbir kolonial British yakni Sir Andrew Caldecott menjadi presidennya yang pertama. Selepas itu, presiden FAM adalah M.B. Shelley diikuti dengan Dr. J.S. Webster, S.D. Scott, R. Williamson, Adrian Clark, J.E. King, H.P. Byson, dan Dr. C. Rawson, sehinggalah Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menjadi Presiden FAM bukan British yang pertama pada 1951.

Sir Andrew Caldecott
(sumber: www.npg.org.uk)

Selepas pentadbiran FAM dipindahkan dari Singapura ke Malaya pada 1940, jawatan setiausaha agung FAM diwujudkan dengan pelantikan A.R. Singham pada 1941. Senarai setiausaha agung FAM termasuklah Datuk Kwok Kin Keng, Dato' T.P Murugasu, Dato' Paul Mony Samuel, Dato' Dell Akbar Khan, Dato' Ibrahim Saad, Dato' Azzuddin Ahmad, dan sekarang ini Dato' Haji Hamidin Haji Mohd Amin. Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaya telah membawa FAM menjadi antara 14 anggota pengasas Asian Football Confederation (AFC) pada 8 Mei 1954. Dua tahun kemudian, FAM diiktiraf sebagai ahli FIFA. Semangat Tunku terhadap bolasepak juga telah menghasilkan pembinaan Stadium Merdeka di Kuala Lumpur, tempat pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Selain itu, rakyat turut dihadiahkan dengan kejohanan Pestabola Merdeka (Merdeka Tournament) sebagai salah satu acara utama sambutan kemerdekaan yang kini sayangnya tidak lagi diadakan secara berterusan. Skuad kebangsaan Harimau Malaya pula meraih pelbagai pencapaian, termasuk buat pertama kalinya layak ke Sukan Olimpik pada 1972 di Munich, Jerman Barat.

Tatkala Football Association of Malaya telah diubah namanya kepada Football Association of Malaysia, Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih tampuk kepimpinan FAM daripada Tunku. Jawatan presiden FAM seterusnya diisi oleh Tan Sri Datuk Seri Setia Raja Hamzah Haji Abu Samah yang kemudiannya turut dilantik menjadi presiden AFC, kedua dari Malaysia selepas Tunku. Selepas itu, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah menjadi presiden FAM sebelum diganti dengan anakanda baginda, Tengku Abdullah. Berikutan pengumuman penarikan diri Tan Sri Annuar Musa daripada bertanding dalam pemilihan presiden FAM untuk penggal yang baharu, tahun 2017 bakal memperlihatkan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menjadi presiden yang ke-15 dalam sejarah FAM.

Kerusi panas FAM akan berpindah tangan kepada TMJ.
(gambar: The Star Online)

Sekali lagi, terima kasih diucapkan kepada Tengku Abdullah kerana telah berusaha dengan sebaik mungkin. Tahniah pula diucapkan kepada Tunku Ismail. Adalah menjadi harapan besar kami semua agar segala macam kanser dan parasit di badan induk bolasepak negara dibuang dengan segera, demi maruah negara!


No comments: