Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Thursday, April 30, 2015

Sejarah, kini, dan masa depan adalah ketentuan Tuhan.

Kita sebagai manusia, kadang kala mungkin kita ingat kita sudah cukup mengetahui tentang segala-galanya. Kita ingat kitalah pandai. Tapi yang sebenarnya, kepandaian yang ada itu pun hakikatnya bukan berasal dari kita. Bukankah kepandaian atau apa sahaja yang ada pada diri kita hanyalah suatu pinjaman? Jadi, bagaimana pula seseorang manusia itu boleh mengatakan dirinya lebih pandai daripada orang lain? Walhal, tidakkah kita sedar bahawa manusia juga dipanggil sebagai 'insan' yakni pelupa? Maka, eloklah sekiranya kita semua kembali kepada Allah. Setelah berusaha dengan sedaya upaya dalam membuat perkara-perkara kebaikan, kita pulangkan sahaja segala bentuk urusan kepada Tuhan yang mencipta seluruh kejadian alam.

Oleh sebab itu, mana-mana manusia tidak sepatutnya mempersoalkan apatah lagi mempertikaikan apa-apa sahaja yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa. Kata-kata seperti "Kalaulah ini terjadi.." atau "Kalaulah itu tak terjadi.." atau yang seumpama dengannya memang tidak patut langsung diucap, dilafaz, mahupun disebut oleh mana-mana orang. Jika terdapat orang yang tetap mahu mengeluarkan kata-kata tersebut maka terbuktilah bahawa orang itu bukan sahaja bodoh dan sombong tetapi juga 'bodoh sombong'. Sekiranya ada yang masih tertanya-tanya atau tidak faham mesej yang ingin disampaikan, barangkali beberapa contoh peristiwa seperti berikut ini boleh membantu.

Cristiano Ronaldo dari Portugal dianggap sebagai spesimen
yang ideal bagi seorang atlet yang bekerja keras manakala
Lionel Messi dari Argentina pula dilihat bertuah kerana
dianugerahi dengan bakat semulajadi yang luar biasa.

Pada hari Isnin, 14 Februari 2005, Arsenal F.C. yang dibimbing oleh pengurus mereka iaitu Arsene Wenger telah mencatat satu sejarah baru apabila menjadi pasukan pertama (keseluruhan skuad bukan kesebelasan utama sahaja) yang membariskan semua pemain bukan Inggeris ataupun British dalam perlawanan menentang Crystal Palace F.C. di Stadium Highbury dalam musim 2004-2005 Liga Perdana Inggeris. Walaupun pasukan Arsenal menang dengan jumlah jaringan besar 5-1 dalam perlawanan tersebut, mereka dan pengurus mereka terutamanya dikecam dengan teruk dari pelbagai arah. Padahal hanya pada musim yang sebelumnya yakni 2003-2004, Arsenal baru sahaja dijulang sebagai juara malahan digelar pula sebagai pasukan kebal "The Invincibles" apabila mengharungi liga tanpa mengalami sebarang kekalahan.

Sol Campbell, Ashley Cole, Ray Parlour, Martin Keown,
David Bentley, dan Justin Hoyte merupakan pemain-pemain
Inggeris yang menganggotai pasukan "The Invincibles" Arsenal.
(gambar: arsenal.com)

Punca ramai pihak yang mengecam mereka adalah kerana keadaan tersebut adalah pelik dan juga janggal memandangkan sebuah kelab Inggeris yang besar dan bermain pula di liga Inggeris divisyen yang tertinggi namun tiada seorang pun pemain Inggeris yang tersenarai. Ditakuti pemain-pemain Inggeris yang berkualiti akan mulai pupus jika terus dipinggirkan serta disisihkan. Namun, jika dilihat 10 tahun kemudian (musim 2014-2015), pasukan Arsenal kini mempunyai sebilangan besar pemain-pemain Inggeris yang turut mewakili England di peringkat antarabangsa, antaranya, Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Theo Walcott, Alex Oxlade-Chamberlain, Calum Chambers, dan tidak ketinggalan penyerang yang dibeli dari Manchester United, Danny Welbeck. Tiada siapa yang dapat mengagak perubahan yang begitu ketara boleh terjadi di sebalik keraguan dan kerisauan yang pernah timbul.

Satu fakta yang menarik, jika Arsenal merupakan pasukan pertama yang meletakkan keseluruhan skuad (11 pemain utama dan 5 pemain simpanan) yang terdiri daripada pemain-pemain bukan Inggeris, Chelsea F.C. pula sudah terlebih dahulu menyenaraikan semua pemain bukan Inggeris dalam kesebelasan utamanya (11 pemain utama) apabila berhadapan dengan Southampton F.C. pada 26 Disember 1999. Namun begitu, perkara tersebut juga tidak menghalang Chelsea untuk menghasilkan salah seorang pemain pertahanan terhebat yang pernah dilahirkan di England iaitu John Terry walaupun rakan-rakan senegaranya yang lain seperti Frank Lampard, Ashley Cole, Joe Cole, dan lain-lain tidak lagi bermain untuk kelab tersebut dalam musim 2014-2015. Adakah John Terry yang membuat penampilan sulung bersama Chelsea pada 28 Oktober 1998 dalam League Cup melawan Aston Villa F.C. mampu mencapai kedudukannya sekarang ini jikalau peristiwa Chelsea meletakkan semua pemain luar itu tidak berlaku? Sekadar sebagai peringatan, pertanyaan yang diajukan tersebut tidak perlulah dicari jawapannya kerana persoalan "jikalau" seperti itu termasuk dalam beberapa perkara yang manusia tidak mungkin boleh tahu dan hanya dapat berspekulasi. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui.

Tak dinafikan bahawa gandingan John Terry dan Rio Ferdinand
sewaktu bersama England dicemburui oleh banyak negara lain
namun berakhirnya gandingan tersebut selepas isu perkauman
yang dicetuskan oleh Terry perlu dijadikan iktibar buat semua.

Apabila Eric Cantona menjadi pemain luar (bukan Inggeris/British) pertama sebagai ketua pasukan yang memenangi FA Cup, sebelum itu lagi beliau sudah dilihat mampu menjadi adiwira bagi negara kelahirannya iaitu Perancis. Kejayaannya mengetuai barisan pemain Manchester United F.C. menumpaskan Liverpool F.C. pada tahun 1996 tersebut memanglah banyak membantu perkembangan pemain-pemain muda pada waktu itu seperti Gary Neville, Phil Neville, David Beckham, Nicky Butt, Paul Scholes, dan Ryan Giggs yang kelak sudah diketahui bakal menjadi bintang-bintang yang bersinar. Maka, adalah tidak keterlaluan jika Eric Cantona diletakkan juga harapan yang tinggi untuk membawa kejayaan yang gemilang buat negaranya. Namun, apa boleh buat, ianya tak kesampaian. Akibat kegagalan Perancis melayakkan diri ke Piala Dunia 1990 dan 1994 serta ditambah pula dengan insiden tendangan kung-fu Cantona ke atas seorang penyokong kelab Crystal Palace, lalu muncullah nama Zinedine Zidane untuk mengambil alih tempatnya sebagai ayam tambatan Perancis yang baharu.

Zinedine Zidane dan Eric Cantona, meninggalkan legasi
penting untuk negara Perancis seperti mana Raymond Kopa,
Just Fontaine, Michel Platini, Jean-Pierre Papin, dan David Ginola.

Sejurus selepas Aime Jacquet menggantikan Gerard Houllier sebagai pengurus Perancis yang baru dalam persiapan untuk kejohanan Euro '96, Eric Cantona awal-awal lagi dilantik sebagai kapten Perancis. Walau bagaimanapun, semasa Cantona digantung perlawanan selama beberapa bulan, Aime Jacquet telah membuat keputusan untuk mempertaruhkan Zinedine Zidane sebagai muka baru. Seperti yang telah ditakdirkan, Zidane kemudiannya bersama-sama pemain-pemain seperti Fabian Barthez, Lilian Thuram, Bixente Lizarazu, Marcel Desailly, Laurent Blanc, Christian Karembeu, Emmanuel Petit, Didier Deschamps, Youri Djorkaeff, Christophe Dugarry, Bernard Lama, Frank Leboeuf, Patrick Vieira, Robert Pires, Thierry Henry, David Trezeguet, dan beberapa pemain lagi berjaya mengangkat nama Perancis sebagai juara dunia buat julung kali pada tahun 1998 di halaman sendiri. Bertambah manis, mereka juga menjadi johan Euro 2000 dua tahun kemudian.

Dalam edisi Piala Dunia 2006 yang berlangsung di Jerman, Zidane atau nama timangannya "Zizou" sekali lagi menjadi tonggak utama buat negaranya walaupun umurnya sudah mencecah 34 tahun. Beliau dan dua orang lagi pemain iaitu Lilian Thuram dan Claude Makelele sebenarnya telah pun mengumumkan persaraan daripada peringkat antarabangsa namun terpaksa kembali bermain bagi menyelamatkan kempen Perancis yang nyaris tidak layak ke Piala Dunia tersebut. Di sebalik kemunculan bintang-bintang muda di arena bolasepak antarabangsa seperti Bastian Schweinsteiger, Wayne Rooney, Arjen Robben, Robinho, Fernando Torres, Cristiano Ronaldo, dan termasuklah Lionel Messi, perlawanan akhir Piala Dunia 2006 menyaksikan pertembungan 'otai-otai' yang diibaratkan bertemu buku dengan ruas apabila Zidane dan rakan-rakannya dari Perancis berdepan dengan Fabio Cannavaro, Gianluigi Buffon, Francesco Totti, dan lain-lain dari Itali. Walaupun kesudahannya Perancis tewas di penentuan sepakan penalti, Zidane sempat menjaringkan satu gol penalti pembukaan melalui tendangan menarah (chip) yang menarik sebelum sayangnya dilayangkan kad merah apabila menanduk dada pemain bajingan, Marco Materazzi. Selepas kejadian tersebut, Zidane mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada bolasepak profesional.

Kelibat Ronaldinho dari Brazil yang ketika itu
sedang berada dalam kemuncak prestasi juga
hadapi masa sukar untuk menyekat kemaraan
lagenda dunia dan Perancis, Zinedine Zidane.

Jikalau ada segelintir pihak yang cuba membayangkan Edson Arantes do Nascimento (atau lebih dikenali sebagai Pele) mungkin akan lebih hebat daripada hebat jika beliau bermain di Eropah semasa zaman kegemilangannya, ada pula yang berimaginasi kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi sekiranya salah seorang "Busby Babes" iaitu Duncan Edwards yang terlibat dalam nahas udara di Munich, Jerman pada 6 Februari 1958 bukan sahaja terselamat tetapi juga dipanjangkan umur dan tidak meninggal dunia di saat umur yang sangat muda, 21 tahun sahaja. Mereka cuba membayangkan alangkah bagusnya andainya pemain England termuda sejak Perang Dunia Kedua (satu rekod yang tidak dipecahkan sehinggalah tahun 1998 oleh Michael Owen) dan bintang Manchester United ini masih ada ketika England sebagai tuan rumah memenangi Piala Dunia mereka yang sulung pada tahun 1966. Akan tetapi realitinya adalah, Bobby Moore merupakan kapten England yang telah menjulang trofi Jules Rimet pada tahun tersebut dan begitu juga Bobby Charlton, salah seorang mangsa nahas udara Munich yang hidup. Seperti yang selalu disebut orang, kita hanya mampu merancang, Tuhan jualah yang menentukan.

Piala Dunia pada tahun 1966 menjadi milik England,
negara pengasas bolasepak moden.

Kalau hendak diikutkan, memang ada banyak lagi contoh-contoh situasi "jika", "kalau", "sekiranya", atau "seandainya" yang boleh berlaku. Namun, perdebatan mahupun perbincangan panjang mengenainya berkemungkinan besar adalah sia-sia atau lebih teruk lagi, merugikan. Apa yang berlaku sudah pun berlaku. Malah, apa yang sudah berlaku, yang sedang berlaku, dan yang akan berlaku telah pun tertulis. Cuma, kita sebagai hamba yang berserah diri kepada Sang Pencipta perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin serta redha dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, terpulanglah kepada diri sendiri untuk menilai dan menelitinya. Duniabolasepak.blogspot.com (DBS) hanya boleh berpesan, baik jadi teladan, buruk letak ke tepi.


No comments: