Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, October 10, 2012

Raja Bola Malaysia

Allahyarham Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat merupakan bekas pemain bola sepak Malaysia pada tahun 1950-an sehinggalah penghujung 1960-an. Beliau beraksi sebagai penyerang dan sayap ketika mewakili Selangor dan juga Malaysia. Beliau digelar sebagai 'Raja Bola' disebabkan kehebatannya di atas padang dan merupakan seorang lagenda bola sepak yang terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia. Pada tahun 1956, beliau telah muncul buat pertama kali dengan pasukan kebangsaan bola sepak Malaysia. Penampilan sulungnya bersama Malaysia adalah sangat menakjubkan apabila menjaringkan 7 gol ketika membantu Malaysia menewaskan Kemboja 9-2.

Raja Bola - Lagenda bola sepak Malaysia

Ketika sebuah pasukan dari Brazil membuat lawatan ke Eropah lebih kurang pada tahun 1925 atau 1927, pemain kebangsaan Arthur Friedenreich yang juga digelar sebagai El Tigre telah diberi nama jolokan "The King of Football". Beliau dikatakan mempunyai rekod jaringan yang sangat hebat tetapi Gabungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak dapat membuktikannya kerana tiada rekod yang disimpan dengan baik. Setelah masa berlalu, nama Arthur Friedenreich kian dilupakan. Tidak ramai yang mengingati beliau sebagai lagenda Brazil mahupun lagenda dunia yang asal sebelum kemunculan Edison Arantes do Nascimento atau Pele. Tidak dinafikan bahawa Pele yang turut dikenali sebagai O Rei (The King) dikatakan sebagai pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman kerana kejayaan yang telah dicatatkan oleh beliau tetapi penghormatan perlu diberikan kepada pemain yang telah memulakannya terlebih dahulu mengikut sejarah. Brazil dan Pele tidak akan terkenal seperti sekarang ini tanpa seorang pemain lagenda yang bernama Arthur Friedenreich.

Pele bersama lagenda-lagenda sebelumnya, Leonidas da Silva (kiri) dan Arthur Friedenreich (tengah).

Begitu juga dengan pemain terhebat pada ketika ini iaitu Lionel Andres Messi dari Argentina. Sekiranya ramai yang mengingati Diego Armando Maradona sebagai pemain lagenda Argentina, ramai juga yang lupa bahawa Argentina sudah mempunyai lagenda sebelum itu. Alfredo Di Stefano yang lebih terkenal sebagai lagenda kelab bola sepak Real Madrid, adalah pemain lagenda yang berasal dari Argentina walaupun turut pernah mewakili Colombia dan Sepanyol dalam kariernya. Antara pemain lagenda terhebat dalam sukan bola sepak, Alfredo Di Stefano merupakan anak kelahiran Argentina yang mula-mula menempa nama di peringkat antarabangsa serta dikenali seluruh dunia sebelum munculnya nama-nama seperti Diego Maradona dan Leo Messi.

(Dari kiri) Di Stefano, Messi, dan Maradona.

Pertemuan dua lagenda negara, Mokhtar Dahari dan Abdul Ghani Minhat.

Ya, Allahyarham Dato' Mohamad Mokhtar Dahari yang dikenali sebagai Supermokh adalah lagenda negara di mata seluruh rakyat Malaysia. Rakan-rakan sepasukannya seperti R. Arumugam, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Reduan Abdullah, Shukor Salleh, dan Isa Bakar adalah para pemain yang hebat-hebat belaka. Namun begitu, nama Abdul Ghani Minhat tetap terpahat dalam sejarah sebagai pemain lagenda Malaysia yang menjadi contoh ikutan bukan sahaja kepada Mokhtar Dahari dan rakan-rakannya dahulu, tetapi juga kepada semua generasi pemain bola sepak negara yang seterusnya sampai bila-bila.

Abdul Ghani Minhat
23 Disember 1935 - 28 September 2012

Salam takziah kepada keluarga dan sahabat handai Allahyarham daripada duniabolasepak.blogspot.com. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya. Sama-sama juga kita sedekahkah bacaan surah Al-Fatihah kepada Allahyarham Abdul Ghani Minhat, Allahyarham Mokhtar Dahari, dan sesiapa sahaja Muslimin serta Muslimat yang kita ingati.


Gambar ehsan:
http://bleacherreport.com
http://www.bulhufas.com
http://www.hmetro.com.my

No comments: