Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, May 16, 2014

MALAYSIA: Pemain pertahanan

MALAYSIAN DEFENDERS
Pemain-pemain pertahanan biasanya tidaklah sepopular sepertimana pemain-pemain penyerang. Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan oleh posisi penyerang yang menggalas tugas glamor, iaitu menjaringkan gol dengan sebanyak mungkin untuk memenangi sesuatu perlawanan (lalu mereka diangkat menjadi wira). Dengan sebab itu, peranan para pemain pertahanan seringkali dipandang enteng. Walhal para pemain pertahanan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kemenangan dengan memastikan gol sekiranya dibolosi tidak melebihi gol yang dijaringkan terhadap pasukan lawan. Walau bagaimanapun, pemain-pemain pertahanan juga wajar diberi penghormatan serta penghargaan memandangkan formasi bolasepak hanya akan menjadi lengkap apabila para penyerang turut digandingkan dengan para pemain pertahanan (di samping penjaga gol, pemain tengah, pemain sayap, dan pemain bek) untuk bekerja sebagai sebuah pasukan. Berikut disenaraikan beberapa pemain pertahanan yang pernah menjadi tonggak utama barisan pertahanan negara.

1. M. Chandran

Dilahirkan di Sungai Siput (Perak), bekas kapten pasukan kebangsaan yang meraih 163 kaps ini menjadi pemain yang bertanggungjawab untuk mengemudi bahagian pertahanan negara dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman. Selain itu, beliau turut berpengaruh dalam membantu negara untuk memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Selepas bersara daripada bermain, beliau pernah menjadi jurulatih negara dan jurulatih pasukan lamanya iaitu Selangor FA.

2. Namat Abdullah

Mampu bermain di posisi pertahanan tengah mahupun bek kiri, pemain ini merupakan anak kepada bekas penjaga gol Pulau Pinang, Abdullah Mohammad dan juga abang kepada Shaharuddin Abdullah, bekas penyerang kebangsaan. Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini telah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik 1972 di Jerman.

3. Soh Chin Aun
Tauke (a.k.a. Towkay)

Sekiranya Allahyarham Mokhtar Dahari dianggap sebagai pemain #10 (playmaker) Malaysia sepertimana Diego Maradona untuk Argentina, pemain ini pula adalah libero bagi pasukan negara ibarat Franz Beckenbauer bagi Jerman. Sebagai salah seorang anggota skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich, beliau berpeluang untuk bermain di Sukan Olimpik buat kali kedua pada tahun 1980 yang diadakan di Moscow (kali ini sebagai kapten) namun terlepas peluang tersebut apabila Malaysia telah menarik diri (untuk memboikot tuan rumah Rusia) walaupun layak.

4. Santokh Singh

Pemain ini telah membentuk gandingan yang sangat mantap di bahagian pertahanan bersama Soh Chin Aun ketika beraksi untuk skuad kebangsaan. Gandingan ini ditambah pula dengan kekebalan R. Arumugam sebagai penjaga gol dan Mokhtar Dahari sebagai penjaring hebat semasa zaman yang dikenali sebagai era kegemilangan bolasepak negara. Dilahirkan serta dibesarkan di Setapak (Kuala Lumpur), beliau juga telah bermain untuk pasukan Selangor FA sehingga bersara.

5. Serbegeth "Shebby" Singh

Beliau merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Dilahirkan di Kluang (Johor), pemain yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi ini pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 3 kali berturut-turut (1987-1989) bersama pasukan Kuala Lumpur FA selepas berpindah dari kelab asal beliau iaitu Johor FA. Kini, beliau lebih dikenali sebagai seorang pengulas sukan di samping pernah terlibat dalam rancangan realiti TV, 'MyTeam'. Pernah juga dilantik sebagai Penasihat Global bagi sebuah kelab Inggeris yakni Blackburn Rovers FC.

6. Zainal Abidin Hassan

Asalnya seorang penyerang, bekas pemain kebangsaan yang versatil ini pernah menyarung jersi Selangor FA dan Pahang FA (di mana beliau dan Dollah Salleh menjadi gandingan yang amat terkenal). Beliau juga dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (kini Piala AFF) pada tahun 1996 sewaktu berumur 35 tahun walaupun tewas 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan akhir. Selepas berhenti bermain pada tahun 1999, beliau telah beralih arah kepada bidang kejurulatihan pula.

7. Azmil Azali

Berasal dari Pulau Sebang (Melaka), bekas pemain kebangsaan ini mencipta nama ketika bermain bersama pasukan Johor FA. Menjadi pilihan regular dalam skuad kebangsaan era 1990-an, beliau pernah diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik dalam pertandingan Piala Dunhill pada tahun 1997. Menggantungkan but pada tahun 2003, beliau juga pernah berkhidmat dengan pasukan Pahang FA dan Melaka FA.

8. B. Rajnikandh

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan era 1990-an, pertahanan tengah yang bernama Rajanikadhn Batumalai ini mula mewakili negara sejak tahun 1995. Sering digandingkan bersama-sama Zainal Abidin Hassan dan Azmil Azali, beliau pernah diangkat sebagai Pemain Pertahanan Terbaik negara pada tahun 1997.

9. Khairul Anuar Baharom

Pemain pertahanan yang kental ini dikenali dengan nama samarannya iaitu 'Ah Chong' dan berpengalaman luas di arena bolasepak tempatan. Beliau pernah memberi sumbangan kepada beberapa buah pasukan, antaranya Kuala Lumpur FA, Terengganu FA, Perak FA, Kedah FA, Negeri Sembilan FA, PDRM (Polis DiRaja Malaysia) FA, dan Selangor FA. Namun begitu, beliau lebih banyak kali terpilih untuk mewakili negara di awal kariernya sahaja.

10. Kaironnisam Sahabudin Hussain

Walaupun kempen Piala Asia 2007 (Malaysia sebagai tuan rumah bersama-sama Indonesia, Thailand, dan Vietnam) berakhir tanpa sebarang kejayaan, pemain kelahiran Mergong (Kedah) ini sedikit sebanyak tetap mempamerkan kebolehannya apatah lagi bermain sebagai seorang ketua pasukan. Memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA 2001 yang diadakan di Kuala Lumpur, beliau bergandingan baik dengan Norhafiz Zamani Misbah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan.

11. Norhafiz Zamani Misbah

Pemain ini dengan Kaironnisam Sahabudin Hussain telah membentuk satu persefahaman yang bagus di barisan pertahanan negara hingga membuatkan gandingan tersebut mampu bertahan dengan agak lama (selama beberapa tahun). Beliau juga menganggotai skuad kebangsaan yang memperoleh pingat perak dalam Sukan SEA 2001 (apabila tewas 1-0 kepada seteru utama Thailand dalam perlawanan akhir). Beliau akan sentiasa diingati dalam lipatan sejarah bolasepak tempatan sebagai salah seorang pertahanan tengah kebangsaan yang cukup tenang dan kemas permainannya.

12. Marzuki Yusof

Anak jati Terengganu ini banyak menghabiskan kariernya di Terengganu FA. Walaupun pernah mewakili pasukan kebangsaan bawah-23, beliau kurang mendapat peluang untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan lebih-lebih lagi dengan kehadiran dua tonggak utama yang seangkatan dengannya iaitu Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Norhafiz Zamani Misbah.

13. Ahmad Azlan Zainal

Pemain kelahiran Kuala Lumpur ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika bersama pasukan kebangsaan bawah-23 terutamanya dalam Kejohanan Belia AFC 2004 (Malaysia tewas 3-0 kepada China di peringkat suku akhir). Di samping itu, beliau turut membantu Malaysia muncul juara dalam Pestabola Merdeka 2007. Walaupun sebelum ini beliau dijangka mampu pergi lebih jauh untuk merealisasikan potensinya namun beberapa kecederaan teruk yang dialaminya serba sedikit telah membantutkan impian tersebut.

14. Aidil Zafuan Abdul Radzak

Pemain pertahanan tengah yang bijak mengatur benteng skuad kebangsaan ini merupakan adik-beradik kembar bagi Zaquan Adha Abdul Radzak, seorang penyerang kebangsaan. Mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, bintang besar kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini juga sekali-sekala mampu membantu jentera serangan melalui tandukan yang tajam dan tendangan jarak jauh yang sangat padu.

15. Mohd Fadhli Shas

Selepas mendapat didikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, pertahanan tengah kelahiran Lumut (Perak) ini hadir sebagai salah seorang anggota penting skuad kebangsaan yang muncul juara dalam Piala AFF 2010 (kejuaraan sulung buat Malaysia) serta memungut dua pingat emas dalam pertandingan bolasepak Sukan SEA (tahun 2009 dan 2011). Semenjak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan menjadi sebahagian daripada pemain-pemain bintang sebuah kelab tempatan yang berbelanja besar iaitu Johor Darul Ta'zim FC setelah menandatangani kontrak lumayan pada tahun 2014.

16. Muslim Ahmad

Pemain yang dilahirkan di Kuala Terengganu (Terengganu) ini mula menimba pengalaman bersama pasukan Piala Presiden Terengganu FA. Selepas itu, beliau meneruskan pula perjalanan karier bolasepaknya dengan skuad Harimau Muda. Sewaktu berumur 19 tahun, pertahanan tengah ini sudah pun menyertai skuad senior kebangsaan. Kemudian, beliau terus menempa nama apabila meraih kejuaraan berganda dalam Sukan SEA (2009 dan 2011) serta kejayaan membawa Malaysia menjadi johan Piala Suzuki AFF 2010.

17. Faizal Muhammad

Pertahanan tengah ini dilahirkan di Marang (Terengganu) dan seperti Muslim Ahmad, turut menimba pengalaman dengan pasukan Piala Presiden Terengganu FA serta skuad Harimau Muda. Malah, beliau juga berjaya mengharumkan nama negara apabila menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan yang memenangi Piala AFF pada tahun 2010.

18. Amirizwan Taj Tajuddin

Seorang pemain yang tinggi lampai, pertahanan tengah kebangsaan ini merupakan produk sebuah institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dilahirkan di Kota Bharu (Kelantan), kelebihan susuk tubuh badan beliau membolehkannya menjadi aset penting bagi skuad kebangsaan terutamanya dalam menghadapi pasukan-pasukan luar negara dalam pertandingan antarabangsa. Pada tahun 2011, beliau pernah mewakili Malaysia dalam temasya Sukan Universiti Musim Panas (Summer Universiade) yang diadakan di China.

19. Amer Saidin

Pemain ini berasal dari Pulau Pinang dan bermain di posisi pertahanan tengah untuk pasukan kebangsaan bawah-23. Pada tahun 2014, khidmat beliau digunakan oleh pasukan Harimau Muda A untuk bersaing dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland (liga bertahap semi-pro) di Australia. Mempunyai seorang abang yang turut bermain bolasepak secara profesional dengan sebuah kelab tempatan iaitu Mohd Syukur Saidin dari Sime Darby FC.

20. Shahrul Mohd Saad

Dilahirkan dalam keluarga bolasepak kerana mempunyai dua orang abang yang turut bermain bolasepak iaitu Syamsul Saad (bekas pemain pertahanan Perak FA) dan Shahrizal Saad (pemain penyerang Perak FA). Selain daripada posisi pertahanan tengah, beliau juga mampu bermain dengan baik di posisi bek kanan. Dalam pertandingan Pestabola Merdeka pada tahun 2013, beliau berjaya membantu Malaysia untuk menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan akhir untuk bergelar juara.


Seperti yang tercatat dalam sejarah, pemain pertahanan bukan sahaja penting untuk mengawal kubu pertahanan tetapi juga amat diperlukan dalam pelbagai situasi yang berbeza mengikut keadaan. Ada yang dilantik menjadi ketua pasukan, ada yang menjaringkan gol tanpa disangka-sangka apabila penyerang dikawal ketat, ada yang menyelamatkan bola daripada melepasi garisan gol semasa penjaga gol sudah pun tertewas, dan begitulah seterusnya. Maka, pemain pertahanan juga menjadi tunjang kepada sesebuah pasukan apabila dapat bekerjasama dengan semua pemain di setiap posisi. Berikut disenaraikan beberapa nama pemain pertahanan lain yang sempat dinyatakan dalam duniabolasepak.blogspot.com:
  • Edwin Dutton
  • Chan Tuck Choy
  • Abdullah Yeop Nordin
  • Chow Siew Yai
  • Razip Ismail*
  • Wong Hung Nung
  • K. Gunalan
  • Adrien Jurad Chamrong*
  • Zami Mohd Noor*
  • Zahasmi Ismail
  • Zaid Jamil
  • Nizam Jamil
  • Wan Jamak Wan Hassan
  • Abdul Ghani Malek
  • V. Thinagaran
  • A. Ganeson
  • Chee Wan Hoe
  • Julius Ating
  • Syamsul Saad
  • Victor Andrag
  • Durahim Jamaluddin
  • Mohd Afif Amiruddin
  • Shahrom Kalam
  • Khairul Helmi Johari
  • S. Subramaniam
  • Chun Keng Hong
  • Nasriq Bahrom
  • Bunyamin Umar
  • Nik Shahrul Azim Abdul Halim


No comments: