Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Wednesday, June 20, 2012

Cadangan format Liga-M yang kompetitif


Berdasarkan situasi dan keadaan semasa, format Liga Malaysia (Liga-M) yang agak membosankan sekarang ini perlulah dirombak dengan segera dalam masa yang terdekat dan jangan dirombak dengan sewenang-wenangnya lagi selepas itu. Maksudnya, format Liga M harus dibentuk dengan menggunakan formula yang sebaik-baiknya agar menjadi lebih stabil. Dengan menggunakan formula yang terbaik, Liga-M atau M-League tidak perlu lagi diubah-ubah berulang kali seperti mana sebelum ini namun masih ada ruang untuk penambahbaikan secara kecil-kecilan sahaja.


Formula yang dimaksudkan adalah dengan mengutamakan sikap profesionalisme serta kualiti para pemain, jurulatih, pengadil, pasukan, dan juga liga keseluruhannya. Hanya ada satu cara untuk memastikan permainan yang bermutu tinggi iaitu dengan membuat perubahan mengikut acuan tersendiri. Liga-liga antarabangsa memang boleh dijadikan sebagai model contoh tetapi bukannya untuk ditiru bulat-bulat. Hendaklah diakui bahawa bolasepak tempatan adalah unik dan istimewa terlebih dahulu sekiranya ingin membuat sebarang perubahan yang berkesan.


LIGA MALAYSIA
Apabila dikaji semula sejarah bolasepak Malaysia, dapat dilihat bahawa pasukan-pasukan negerilah yang paling banyak memberi sumbangan kepada skuad kebangsaan dengan penyertaan pemain-pemainnya. Bukannya ingin memperkecilkan peranan pasukan-pasukan berstatus kelab tetapi setiap pihak yang terlibat seharusnya memberikan sumbangan berdasarkan kadar kemampuan masing-masing.

Jika diteliti dengan betul, hanya pasukan-pasukan negeri yang mampu mendapatkan penyokong yang ramai jika dibandingkan dengan mana-mana pasukan kelab di Malaysia. Oleh itu, Liga-M perlu menghimpunkan semua pasukan negeri dalam satu liga yang profesional tanpa ada penyingkiran (relegation) mahupun kenaikan (promotion). Persaingan yang sengit sudah tentu akan berlaku apabila pasukan-pasukan negeri tersebut cuba merebut kejuaraan liga utama iaitu Liga M, di samping berusaha untuk mendapatkan tempat ke pertandingan berprestij Piala Malaysia. 16 pasukan ahli gabungan (affiliates) Persatuan Bolasepak Malaysia (Football Association of Malaysia, FAM) iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bersaing untuk berada pada 8 tempat teratas dalam liga bagi memperoleh kelayakan automatik ke Piala Malaysia. Di samping itu, bagus juga sekiranya ATM boleh diberi nama baru iaitu Labuan manakala PDRM dinamakan semula sebagai Putrajaya bagi menarik lebih banyak sokongan peminat untuk datang ke stadium. Liga akan dijalankan secara dua pusingan (round robin) dengan setiap pasukan mempunyai 30 perlawanan liga (home & away) setiap musim.


PIALA MALAYSIA

Pasukan-pasukan kelompok 8 tempat teratas dalam liga yang layak ke Piala Malaysia pula akan dibahagi kepada 2 kumpulan. Pasukan dengan kedudukan nombor ganjil dalam liga akan berada dalam Kumpulan A manakala pasukan dengan kedudukan nombor genap akan berada dalam Kumpulan B. Perlawanan akan diadakan secara timbal balik dan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir. Johan daripada Kumpulan A akan bertemu dengan naib johan Kumpulan B manakala naib johan daripada Kumpulan A akan bertemu dengan johan Kumpulan B. Seterusnya, dua pemenang peringkat separuh akhir akan berentap di perlawanan akhir bagi memiliki kejuaraan yang paling berprestij di peringkat negara.
Minimum 6 perlawanan bagi setiap pasukan,
jumlah 9 perlawanan jika sampai ke final.


PIALA FA
Dalam kejohanan Piala FA pula, 8 pasukan teratas dalam liga juga diberi kelebihan (advantage) untuk tidak bertemu sesama sendiri di peringkat awal. Pasukan lawan yang bakal menentang mereka adalah mana-mana 8 pasukan terbawah liga mahupun pasukan-pasukan kelab yang akan ditentukan melalui undian. Piala FA merupakan pertandingan kalah mati dengan pasukan yang berkedudukan lebih tinggi dalam liga akan diberi peluang untuk bermain di tempat sendiri.
Maksimum 4 perlawanan jika sampai ke final.


LIGA FAM
Pasukan-pasukan kelab pula tidaklah dipinggirkan begitu sahaja. Pasukan-pasukan kelab dan mungkin juga pasukan-pasukan simpanan atau pelapis (reserve, development, atau feeder teams) negeri akan dikumpulkan untuk beraksi dalam sebuah liga lain yang bertaraf semi-pro iaitu Liga FAM (asalnya Piala FAM) atau Liga M1. Sekiranya terlalu banyak pasukan kelab yang mahu bertanding maka bolehlah dipecahkan kepada beberapa divisyen (Liga M2, M3, dan seterusnya) yang akan mempunyai kenaikan serta penyingkiran. Pemain-pemain berbakat dalam pasukan-pasukan kelab yang dikesan mampu bermain dengan cemerlang atau luar biasa sudah pastilah turut mempunyai peluang untuk beraksi dalam kancah liga utama yang profesional sekiranya dapat dipikat oleh mana-mana pasukan negeri yang berminat.


PIALA PRESIDEN
Kemudian, tidak kurang pentingnya juga ialah Piala Presiden, sebuah liga yang disediakan khas untuk pemain-pemain muda serta remaja. Ia dahulu adalah Burnley Cup untuk bawah 20 sebelum menjadi Piala Razak untuk bawah 18, selain adanya Sheffield Cup untuk bawah 15. Sebaiknya pertandingan ini terdiri daripada pasukan-pasukan pelapis negeri dan formatnya adalah sama seperti liga profesional cuma dianjurkan pada tahap amatur. Gabungkan sahaja Piala Belia (bawah 19) dengan Piala Presiden (bawah 21) memandangkan jarak umur pemain untuk kedua-dua kejohanan tersebut tidak begitu banyak berbeza.


PIALA SUMBANGSIH
Selain itu, ingin disebutkan di sini ialah Piala Sumbangsih (atau Piala Sultan Haji Ahmad Shah). Piala pembukaan tirai liga ini adalah suatu perlawanan khusus di antara juara liga menentang pemenang Piala Malaysia. Sekiranya juara liga juga merupakan pemenang Piala Malaysia maka ia akan menentang johan Piala FA. Andai juara liga adalah pemenang Piala Malaysia dan juga johan Piala FA maka ia akan menentang penyandang Piala Sumbangsih atau naib juara liga dalam perlawanan ini.



Akhir sekali, tidak lupa juga adalah Piala Tun Sharifah Rodziah (atau kononnya bakal dipanggil Liga Tun Sharifah Rodziah) yang ditubuhkan sejak tahun 1976 sebagai kejohanan bolasepak wanita di Malaysia.

#LigaMalaysia   #menjelang2020   #MLeague


No comments: