Ulang Tahun Ke-15 Dunia Bola Sepak

Jubli Baiduri (2008 - 2023)

Friday, April 3, 2009

Budak-budak ajaib

Siapa kata Malaysia tiada bakat-bakat baru untuk menggalas tanggungjawab menyarung jersi negara menyambung warisan wira-wira dan lagenda tempatan seperti Arthur Koh, Dali Omar, Zulkifli Norbit, Bakri Ibni, Abdah Alif, N. Thanabalan, Chow Chee Keong, Lim Teong Kim, Khalid Ali, Syed Ahmad Abu Bakar, Shukor Salleh, Reduan Abdullah, Ali Bakar, Isa Bakar, Supermokh, dan Raja Bola? Walaupun pembangunan akar umbi kita tidak sehebat benua Eropah mahupun Amerika Latin, sekurang-kurangnya masih terdapat antara rakyat Malaysia yang mampu mempamerkan bakat yang dikembangkan dengan usaha sendiri atau memang sudah dilahirkan berbakat secara semulajadi. Inilah yang dikatakan anugerah Ilahi. Namun, sayangnya kita sama-sama telah membazirkannya dengan begitu sahaja. Padahal, yakin dan percayalah bahawa jika ikhtiar, usaha, dan amalan yang berterusan dilakukan dengan betul maka tiada apa yang mustahil bagi kita semua mencapai kejayaan.

Muhamad Nazmi Faiz Mansor 
Ubi muda Malaysia yang telah 
menandatangani kontrak bersama 
sebuah kelab Portugis iaitu 
Sport Clube Beira-Mar

Jika difikirkan sejenak, bola sepak Malaysia tidak perlu menjadi seperti sebilangan negara luar hingga menjadikan sukan atau pasukan bola sepak itu seolah-olah seperti satu agama. Memandangkan banyak lagi perkara yang harus diberikan tumpuan dalam hidup ini, maka cukuplah rasanya andai pasukan bola sepak kebangsaan negara Malaysia yang mewakili seluruh negara mencapai kejayaan yang selayaknya. Kejuaraan menjadi titik tolak yang penting tetapi yang lebih penting daripada itu adalah semangat juang yang boleh ditunjukkan sehingga wisel penamat ditiupkan setiap kali berlangsungnya perlawanan. Berkerja dengan ikhlas bukan sahaja menyenangkan hati ramai pihak tetapi turut memberikan satu ingatan yang berkekalan untuk disampaikan pula kepada generasi-generasi yang berikutnya supaya mereka juga boleh mengerti apa makna sebenar slogan "Malaysia Boleh!" yang sering dilaung-laungkan sebagai pemangkin semangat.

Ingin dilontarkan cadangan spontan di sini. Antaranya ialah berkenaan dengan badan induk bola sepak negara iaitu FAM. Pernah sebelum ini ada pihak mahu badan tersebut dibubar secara besar-besaran dan digantikan dengan orang-orang yang benar-benar arif dan ahli sahaja tanpa apa-apa kepentingan peribadi semata. Walau bagaimanapun, perkara tersebut mungkin sukar untuk dilaksanakan dan dalam sedar tak sedar ia dibiarkan begitu sahaja. Jikalau begitu, mungkin apa yang boleh dibuat oleh semua penyokong Malaysia adalah merayu supaya golongan yang berkuasa untuk membuat keputusan agar sekurang-kurangnya mendengar dan menilai apa yang orang-orang biasa yang terdiri daripada peminat bola sepak tempatan ingin suarakan dahulu kemudian buatlah sedikit penyelidikan. Seterusnya, supaya tidak menjadi manusia yang angkuh maka ambillah yang baik dan buang yang buruk.

Berdiam diri sambil berpeluk tubuh dan menggoyangkan kaki atau buat sesuatu pun tanpa keikhlasan di hati hanyalah membawa padah. Sebab itulah tanahair tercinta ini tidak pernah lagi mengecapi kemajuan bola sepak seperti zaman-zaman kegemilangan dahulu kala walaupun mempunyai pemain-pemain hebat seperti Hassan Sani, James Wong, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azizol Abu Haniffah, Hashim Mustapha, Khairul Azman Mohamed, Azman Adnan, Khalid Jamlus, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mahupun Titus James Palani. Bakat mereka yang terpahat dalam sejarah sekadar jaguh kampung merupakan satu kerugian yang amat besar bagi seluruh rakyat Malaysia. Angan-angan hanya tinggal sebagai angan-angan andai tiada usaha yang dilakukan untuk merealisasikannya. Usaha pula mestilah betul dan disandarkan pada jiwa yang bersih barulah kebarangkalian untuk berjaya menjadi semakin besar. Bak kata orang, kita hanya merancang yakni berusaha dan bertawakal tetapi Yang Maha Esa jualah yang menentukan.

No comments: