Monday, August 22, 2016

Pingat emas Olimpik paling bermakna buat Brazil

Neymar Jr., anak emas pasukan bolasepak Brazil.
(kredit: google.com)

Walaupun telah muncul juara dunia sebanyak 5 kali dan merupakan satu-satunya negara yang sentiasa layak ke Piala Dunia, Brazil belum pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik sehinggalah mereka menewaskan Jerman di Stadium Maracanã menerusi sepakan penalti pada kali ini.

Selepas terikat 1-1 yang membawa kepada melepasi masa tambahan, ayam tambatan Brazil yakni Neymar dijulang sebagai salah satu wira negaranya apabila bukan sahaja menjaringkan gol pembukaan dengan sepakan percuma yang menarik tetapi juga menjadi penjaring gol penalti yang menentukan kemenangan. Sekaligus, kehampaan dalam episod duka apabila disingkirkan oleh Jerman dengan sungguh memalukan (tewas 7-1) di Piala Dunia dua tahun lalu dapat juga ditebus oleh Neymar dan rakan-rakannya.

Nigeria berjaya menumpaskan Honduras 3-2 untuk meraih pingat gangsa manakala pasukan wanita Brazil pula terlepas pingat gangsa apabila ditewaskan 2-1 oleh Kanada. Pingat emas wanita dimenangi oleh pasukan Jerman yang mengatasi Sweden (pingat perak) juga dengan jaringan 2-1.

Tidak lupa juga diucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kontinjen Malaysia yang telah berhempas pulas untuk membawa pulang pencapaian Olimpik terbaik setakat ini. Terima kasih kepada semua atlet yang sudi menjadi contoh ikutan yang baik kepada generasi ahli sukan pada masa hadapan.

#olympicgames #rio2016 #malaysiaboleh


Wednesday, July 20, 2016

Malaysia ketandusan pemain berbakat? Oh, tidak...


Berita persaraan awal empat orang pemain dari kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang ingin berhenti menyarung jersi kebangsaan sememangnya mencetuskan pelbagai reaksi terutamanya daripada beberapa pihak yang masih mengambil berat tentang senario bolasepak tanahair. Setiap kali ada isu yang melibatkan pasukan kebangsaan 'Harimau Malaya', maka akan timbullah semula ketidakpuasan hati orang ramai terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Penukaran nama pasukan kebangsaan kepada "Harimau Malaysia" yang diumumkan oleh FAM dan penajanya tidak lama dahulu nampaknya telah terbukti tidak memberi apa-apa makna.

Safiq Rahim, Aidil Zafuan, dan Tunku Ismail (TMJ) bersama Piala AFC.
(kredit: www.bharian.com.my / johorsoutherntigers.com.my)

Apabila Mohd Safiq Rahim (29 tahun), Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak (29 tahun), Kunanlan a/l Subramaniam (30 tahun), dan Mohd Amirulhadi Zainal (30 tahun) membuat keputusan untuk bersara daripada skuad kebangsaan walaupun masih lagi boleh berbakti, ia merupakan satu tamparan hebat buat barisan kepimpinan di FAM. Samada mereka sedar setelah ditampar dengan begitu hebat atau tidak, entahlah. Selepas ini, janganlah terlalu hairan sekiranya Datuk Ong Kim Swee pula yang akan menerima nasib yang serupa dengan Dollah Salleh, seorang jurulatih yang sangat berwibawa dan juga bekas pemain kebangsaan yang bertaraf bintang pun terpaksa meletakkan jawatan kerana dipersalahkan sebagai ketua jurulatih kebangsaan. Semua orang dengan mudahnya ditolak ke tepi dan dibuang kecuali anda tahu siapa, yang bertali leher berbelang kuning-hitam!

Lazimnya, seseorang pemain kebangsaan tidak mengumumkan persaraan daripada bolasepak antarabangsa melainkan sudah terlalu tua atau mengalami kecederaan yang sangat serius. Selain daripada itu, seseorang pemain itu tidak pernah bersara secara rasmi daripada mewakili negara. Cuma, apa yang terjadi adalah mereka tidak lagi dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan. Hanya apabila seseorang pemain itu menggantung but dan tidak lagi bermain dalam mana-mana liga maka umum mengetahui bahawa pemain tersebut secara automatiknya terus bersara daripada arena bolasepak profesional. Oleh itu, sekiranya seseorang pemain kebangsaan yang masih berada di kemuncak prestasi, apatah lagi merupakan ketua pasukan atau timbalan ketua pasukan bersara secara mengejut itu bermakna terdapat masalah besar yang sedang menimpa.

Peletakan jawatan seorang presiden belum mampu
menyelesaikan masalah kerana punca masalah
adalah memberi amanah kepada bukan ahlinya.

Walau bagaimanapun, adalah tidak adil seandainya Presiden FAM iaitu Tengku Mahkota Pahang, DYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah sahaja yang dibidas memandangkan tanggungjawab mempertahankan maruah bolasepak negara tidak terletak di atas bahu seorang presiden semata-mata. Tanggungjawab mempertahankan maruah serta mengangkat martabat bolasepak negara sebenarnya dipikul oleh semua yang terlibat bermula dari para pemain sehinggalah kepada para penyokong. Namun begitu, pihak yang berada di tengah-tengah yang menghubungkan antara para pemain dengan para penyokong itu adalah para pegawai. Para pegawailah yang memainkan peranan paling besar sekali dalam memastikan kedua-dua belah yakni para pemain dan para penyokong sentiasa mendapat apa yang sewajarnya. Tanpa para pemain maka tiadalah yang akan bermain bolasepak dan tanpa para penyokong maka tiadalah yang akan menonton perlawanan bolasepak. Tanpa kedua-duanya, tiada gunanya lagi untuk melantik sebarang pegawai walaupun dibayar gaji buta.

Oleh yang demikian, kalaulah para pegawai hanya mementingkan kehidupan mewah dengan bercuti ke luar negara serta bekerja sambil lewa, kenapa pula hendak terkejut jika ada pihak yang marah sehingga mahu beri penyepak (dengan tangan) dan penyepak (dengan kaki)? Memanglah kekerasan dan keganasan bukan boleh menyelesaikan masalah tetapi mengapa pula harus membuka ruang dan peluang untuk semua itu? Tidakkah mengundang masalah namanya itu? Hatta, masalah jangan dicari, tetapi bila ada masalah jangan pula lari. Jelas sekali, sudah tiba masanya untuk para pegawai di FAM berubah jika tidak mahu diubah dari kedudukan mereka sekarang. Selagi mana yang tidak bersalah dipersalahkan dan yang bersalah boleh terlepas, selagi itulah sejarah kegemilangan bolasepak negara semakin jauh dari penglihatan.

Tugas berat kini menanti Ong Kim Swee untuk melaksanakan
perubahan drastik dalam merubah wajah skuad kebangsaan.
(gambar: says.com)

Selepas aksi Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor-Leste awal bulan Jun yang lalu, skuad kebangsaan sepatutnya sudah mula membuat persiapan untuk Piala Suzuki AFF 2016 pada penghujung November nanti. Namun, apa yang berlaku hanyalah gangguan yang bakal merencatkan persediaan Malaysia sahaja. Dalam siri beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa dalam Jelajah Oceania baru-baru ini, sudahlah negara tewas 0-2 kepada Papua New Guinea (naib juara Piala Negara-negara Oceania 2016 dan ranking ke-193 dunia), kemenangan tipis 2-1 bertemu New Caledonia (ranking ke-183 dunia) pula tidak diiktiraf FIFA atas kesilapan teknikal tuan rumah khabarnya. Mujurlah dapat juga satu keputusan seri 1-1 dalam perlawanan dengan Fiji (ranking ke-186 dunia). Dengan ketiadaan kapten Safiq Rahim dan tiga rakan-rakannya, selepas ini cuma tinggal empat perlawanan persahabatan antarabangsa sahaja lagi dalam bulan September dan Oktober sebelum pasukan negara memberikan cabarannya di peringkat Asia Tenggara. Samada pasukan negara mampu bersaing atau tidak, kita tunggu dan lihat sahajalah nanti.

Sudah tentu, ketiadaan pemain-pemain tonggak dan berpengalaman pastinya menggusarkan para peminat bolasepak tempatan. Menggantikan mereka dengan pemain-pemain lain bukanlah perkara yang mudah kerana memang susah untuk mencari mahupun mengenal pasti bintang-bintang baru manakah yang akan bersinar sama cerah kalau tidak lebih terang daripada bintang-bintang terdahulu. Maka akan timbul persoalan di benak fikiran orang-orang yang tertentu, adakah Malaysia ketandusan pemain berbakat? Jawapannya, (inshaaAllah) sudah tentu tidak. Betulkah Malaysia masih mempunyai pemain-pemain berbakat? Ya, samada sedar atau tidak, tahu atau tidak tahu, negara kita yang bertuah ini sentiasa dianugerahkan dengan pemain-pemain berbakat sejak dahulu lagi. Hanya orang-orang yang tidak menghargai mereka sahaja yang tidak nampak dan membazirkan bakat mereka. Siapakah calon-calon pemain yang diharapkan boleh menggantikan tempat pemain-pemain "pencen" awal yang sungguh telah banyak berjasa selama ini?

Adakah sirih akan pulang ke gagang?
(sumber: www.slsgsoccer.com)


Monday, July 11, 2016

Salam Lebaran: Aidilfitri 1437H

6 Syawal 1437 (11 Julai 2016)

Bermula dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Hari ini hari Isnin. Persekolahan telah pun bersambung semula dan ramai juga yang telah mulai bekerja setelah bercuti menyambut hari raya. Walaupun begitu, memandangkan mood berhari raya masih lagi terasa, maka kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin.

Oh, tahniah juga buat pasukan bolasepak kebangsaan Peringgi (Portugal) yang telah memenangi kejohanan antarabangsa sulung mereka sebagai juara Eropah pada kali ini. 

#kembalikepadafitrah
#janganlupapuasa6
#parabénscristiano

http://duniabolasepak.blogspot.com/


Monday, April 25, 2016

Yang mana satu, Ramadan 1437 atau Euro 2016?

Demam bola bakal melanda, akan tiba tidak lama lagi. Adakah kita
sudah bersedia untuk menangkis godaan dunia dan hawa nafsu?
(kredit: Khazim/kamalmustafa.com)

Kejar bola. Main bola. Tengok bola. Pakai, baju bola. Makan, dengan bola. Mandi, dengan bola. Tidur, pun dengan bola. Minum? Tak tau la. Memang gila bola. Asal bola je, gila. Asal gila je, bola. Bola, bola, bola, tak bosan ke.. Takkan itu je matlamat hidup? Peminat biasa-biasa boleh tahan la lagi, tapi peminat kipas-susah-mati serta fanatik bila melampau itu la yang selalu menjadi masalah. Bukan kat sini la, tapi kat tempat lain. Alahai.. aduhai, aduyai! 'Poning kapalo den'.

Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan.
(gambar: ramadanquotes.com)

InshaaAllah, bulan Ramadan bagi tahun 1437 Hijriah dijangka bermula pada 6 atau 7 Jun 2016 tahun Masihi. Tanggal 1 Ramadan yang akan datang ini, seperti tahun-tahun yang sebelumnya, orang-orang Muslim (yang memenuhi syarat-syarat wajib puasa) di seluruh pelosok dunia akan berniat terlebih dahulu dan seterusnya menahan diri daripada makan, minum, dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar shadiq sehingga terbenamnya matahari, setiap hari selama sebulan. Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa selain makan dan minum? Anda selidikilah sendiri. Sesungguhnya menimba ilmu adalah satu tuntutan, fardu ain bagi tiap-tiap individu samada yang lelaki mahupun perempuan.

Untuk seorang pemain bolasepak yang mengambilnya sebagai satu pekerjaan sepenuh masa (atau dalam kata yang lain, pemain profesional) dan bukannya penonton atau pemain permainan video, sudah tentulah berpuasa memberikan cabaran yang besar terutamanya apabila berlatih dan menghadapi perlawanan. Walau bagaimanapun, salah satu ibadat yang termasuk dalam Rukun Islam yang lima ini tidaklah dianggap suatu kesusahan buat para pemain yang tetap teguh pegangan agamanya. Ini terbukti apabila beberapa pemain ternama di England, di Eropah, mahupun di peringkat dunia serba sedikit telah mengubah budaya bolasepak di sana. Meskipun sukan bolasepak pada tahap tertinggi global didominasi oleh warga bukan Islam (kerana mereka yang mempopularkannya), pihak atasan yakni golongan pentadbir bolasepak menyedari bahawa sebahagian besar penyokong bolasepak yang terdiri daripada berbilang bangsa adalah yang dilahirkan Muslim! Pelik, bukan? Betapa mudahnya orang mendekati bolasepak. Nak, tak nak, terpaksalah mereka mengalah sedikit walaupun secara umumnya masih lagi terdapat rintangan untuk penganut Islam mengamalkan agamanya di tempat orang.

Betul ke buat macam ni? Macam ada yang tak kena je.
(gambar: skysports.com)

Di atas kertas, persatuan bolasepak England iaitu The Football Association atau ringkasnya The FA ada menyatakan bahawa undang-undangnya mengamati dan menghormati semua agama. Di dalam FA RULE B5 Football & Religious Observance menyebutkan bahawa:
(a) A Participant cannot be compelled to play football on bona fide occasions where religious observance preludes such activity, save where the Participant: (i) has consented to do so on such occasions; or (ii) is registered as a player under written contract, which shall be taken as consent to play on such occasions unless otherwise provided for in the contract.
(b) Annually, when planning programmes, Competitions shall define and notify agreed dates of such occasions.
[sumber: www.thefa.com]

Yang faham, faham. Yang tak faham, sudah. Alah, Google Translate kan ada. Pada dasarnya, tiada siapa yang dipaksa untuk meninggalkan agamanya dan tiada siapa juga yang dihalang mengikuti agamanya melainkan dengan persetujuannya sendiri. Oleh itu, apa-apa yang terjadi, apa-apa yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab kita sendiri, bukannya orang lain. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Jika di England, negara Kristian pun ramai yang tahu kewajipan seorang Muslim, mengapa pula ada negara yang berpenduduk majoriti Muslim boleh buat-buat tak tahu? Jangan ingat boleh lupa insiden tahun lepas apabila saingan Liga-M (M-League) tahun 2015 terus berlangsung walaupun dalam bulan Ramadan. Kalau dapat diuruskan dengan elok mungkin boleh dimaafkan lagi, tetapi huru-hara dan kucar-kacir sahaja jadinya. Apa kata lain kali utamakan dahulu apa yang utama, susah sangatkah?

Sekiranya agama dikatakan sebagai sejenis "dadah" maka
agama adalah dadah yang membantu pesakit manakala
hedonisme adalah dadah yang membawa penyakit.
(kredit: worldsoccertalk.com)

Menjelang Euro 2016 (atau nama panjangnya, The 2016 UEFA European Championship) yang bakal berlangsung di Perancis mulai 10 Jun hingga 10 Julai nanti sudah pastilah membuatkan banyak syarikat multinasional (dan bukan multinasional) hanya menunggu masa sahaja untuk menyumbat sebanyak-banyaknya iklan mereka ke dalam minda separa sedar atau di bawah sedar seberapa ramai yang boleh. Inilah bahananya apabila terlalu banyak masa dihabiskan terpaku menonton kotak ajaib bermata satu yang dinamakan televisyen (atau monitor dan juga skrin).

Apa yang lebih menarik dan mungkin menggelikan hati, seolah-olah kebetulan pula Copa América Centenario (atau 2016 Centennial Copa America dalam bahasa Inggeris) akan turut berlangsung sedikit awal daripada Euro 2016 iaitu dari 3 hingga 26 Jun. Pertandingan yang sudah menjangkau umur 100 tahun, buat pertama kalinya dalam sejarah akan diadakan di Amerika Syarikat dan di luar benua Amerika Selatan. Sungguh mengagumkan bukan! Mujurlah Rio 2016 Olympics (5-21 Ogos) dan Paralympics (7-18 September) yang akan berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, juga pada tahun ini, tidak diadakan serentak dengan Euro 2016 dan Copa América Centenario. Kalau tidak, orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadan nanti bukan sahaja tidak makan dan tidak minum, tetapi juga tidak tidur langsung (puasa 'yang yok' ke apa ni??). Di depan tv hanya tercegat, tiada rehat, letih dan penat, maka kurang jugalah beribadat.

The stage is set. The world's best in the U.S. Fuyooo..
(gambar: notimerica.com)

Wahai saudara-saudari sekalian, kita semua adalah makhluk ciptaan Allah. Kita semua juga adalah anak-anak keturunan Nabi Adam alaihis salam. Generasi pada masa ini semuanya adalah kaum atau umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam. Yang membezakan antara sesama kita hanyalah apa kemahuan kita. Adakah kita mahu berfikir atau tidak? Beriman atau tidak mahu percaya? Masing-masing mempunyai peranan serta tanggungjawab, yakni kepada diri sendiri, keluarga, dan juga masyarakat. Walau apa pun, kita ingatlah satu perkara. Dengan kehendak Allah jua dan bukan kehendak kita, sesiapa sahaja boleh diberikan kebaikan samada di dunia, di akhirat, mahupun kedua-duanya. Maka, marilah, ayuh, jom kita kembali kepada jalan yang benar dan bertaubat selagi sempat atas apa-apa kesalahan yang pernah dibuat. Semoga Allah subhanahu wa taala mengampunkan dosa-dosa kita yang tidak terkira banyaknya. Allahu akbar! Allah Maha Besar.

#RamadanKareem   #extremismisnottheanswer


Saturday, March 26, 2016

Vaarwel, held! Vaarwel, Johan Cruijff!


Hendrik Johannes "Johan" Cruijff
(25 April 1947 - 24 March 2016)